(Laporan Penoh) TRW, PKNP FC terikat aksi persahabatan

KOTA BHARU: Kelantan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC terikat 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, di sini, sebentar tadi.

Cubaan pemain import dari Indonesia, Ferdinand Alfred Sinaga nyaris meletakkan The Red Warriors (TRW) di depan sebelum dinafikan penjaga gol pelawat sejurus aksi bermula.

PKNP FC turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-7 menerusi tandukan import dari Jepun, Masahito Noto dan Kheo Skpheng (Kemboja) namun diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohamad Ramadhan.

Larian pantas Masahito dan Kheo berjaya mengancam kubu pertahanan tuan rumah yang diketuai Amirizdwan Taj dan Cassio Francisco Jesus.

Perlawanan hampir dikuasai pelawat dengan larian pantas dan hantaran tepat hampir memerangkap tuan rumah, memaksa pengendali Kelantan, Sathit Bensoh melakukan pertukaran menggantikan Fakrul Zaman dengan Bruno Da Silva Lopes.

Tuan rumah hampir memecah kebuntuan menerusi tandukan Do Dong Hyun pada minit-33 dan rembatan deras Ferdinand Sinaga pada minit-44 namun sedikit tersasar.

Aksi pada separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bermain corak berhati-hati dan saling berbalas asakan namun kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.

Sourced BH

Trio import TRW diuji PKNP

KELANTAN bakal menguji kemampuan trio import baharu dalam aksi ketiga pra-musim menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.

Ketua jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh berkata, perlawanan ujian ketiga dengan pendatang baharu Liga Super itu juga akan memberi peluang menilai prestasi pemain menjelang aksi keempat berdepan kelab Buriram FC dari Thailand di tempat lawan pada 27 Januari ini.

“Soal menang atau tewas dalam aksi perlawanan persahabatan tidak menjadi keutamaan namun proses membentuk persefahaman menjadi fokus utama.

“Saya bakal membuat beberapa pencaturan taktikal untuk disesuaikan dengan gandingan pemain import dan tempatan yang dipilih dalam kesebelasan utama pasukan kelak.

“Semua pemain sudah menjalani latihan dengan menumpukan aspek taktikal dan kami sedang berusaha meningkatkan tahap persefahaman antara pemain import dan tempatan.

“Kelantan juga dalam rangka persiapan mewakili negara bagi merebut Piala Super Sportfix yang menyaksikan saingan tiga penjuru menentang dua pasukan liga utama dari Indonesia dan Thailand dari 13 hingga 20 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi pemain import, Sathit berpuas hati serta yakin dengan komitmen empat import baharu – Do Dong Hyun dari Korea Selatan, Cassio Francisco De Jesus, Bruno Da Silva Lopes (Brazil) dan Ferdinand Alfred Sinaga (Indonesia) – mampu memberi impak positif untuk memburu kemenangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Perlawanan ujian pertama membabitkan pasukan dari Liga FAM, UBES MPKB BRI yang berlangsung di padang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum ini berakhir dengan kemenangan 4-0 dan seri 0-0 dengan Terengganu FC II (TFC II).

“Kita bakal menurunkan semua pemain termasuk pemain muda serta import bagi membentuk skuad sebenar sebelum menempuhi saingan liga musim ini,” katanya.

Sourced HMetro

‘Sorry KAFA… Saya setia dengan PKNP’

“MINTA maaf. Tugas saya dengan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC masih belum selesai.”

Begitulah kata Abu Bakar Fadzim (gambar) ketika memohon maaf kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan kerana tidak dapat memenuhi permintaan menjadi penggendali The Red Warriors (TRW) bagi musim 2018.

“Saya ucapkan terima kasih kepada KAFA kerana mempunyai keyakinan terhadap saya hingga membuat tawaran untuk jurulatih TRW.

“Tapi tugas saya dengan PKNP belum selesai. Pasukan ini baru ditubuhkan dua musim lalu dan saya ingin laksanakan cita-cita dan aspirasi pasukan.

“Saya sudah mengikat kontrak dua tahun dengan mereka,” kata Abu Bakar ketika menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya sejak menerima tawaran KAFA lebih sebulan lalu.

Beliau berkata terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan supaya dapat membuat yang terbaik untuk dirinya.

“Ini bukan soal wang semata-mata tapi juga kepuasan melihat hasil kerja,” katanya.

Kejayaan pengendali yang lebih dikenali sebagai Burn dalam membimbing PKNP musim ini membuka mata KAFA yang menyatakan kesediaan memberi tempat kepada jurulatih itu.

Namun bekas pemain tengah Perak era 90-an itu ternyata belum puas dengan kejayaan yang dikecapi bersama anak buahnya setakat ini.

Sourced Hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*