“Biarlah Apa Orang Cakap, Kita Tak Mampu Tutup Mulut Mereka” – Ibu Iqram Dinzly

Ibu kepada aktor Iqram Dinzly, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 67, mengakui dia sedar dengan pelbagai kejian yang diberikan kepada anaknya yang didakwa gila dan sesat.

“Saya tahu ada yang mengeji Iqram, tetapi saya tidak mengambil peduli apa yang mereka katakan kerana Iqram berperangai seperti biasa sahaja di rumah.

“Biarlah apa orang cakap, kita tak mampu tutup mulut mereka,” ujar Lalitol.

Menerusi kenyataan Lilatol kepada portal MStar, dia ada menegur Iqram jika anaknya ada membuat perkara yang melampaui batas.

“Sebagai seorang ibu, saya ada menasihati Iqram mana yang perlu, tetapi Iqram memberitahu dia tahu apa yang sedang dilakukannya.

“Selama ini, semasa menjaga arwah ayah di hospital, anak saya banyak menerima pelbagai penghinaan namun Iqram tetap bersabar.

“Namun Iqram terus dikutuk semasa membuat ‘live video’ di laman sosial Instagram dan dia sudah tidak boleh menahan sabar lagi,” katanya.

Kelakuan ‘pelik’ Iqram di laman sosial Instagram mencuri perhatian netizen dan ramai yang mendakwa Iqram kini sudah ‘gila’ dan ‘sesat’.

Sumber Mstar Online

“Netizen Adili Saya Seolah-olah Mereka Terlalu Suci” – Iqram Dinzly Akui Ada Sebab Berperangai Pelik

Pelakon Iqram Dinzly mengakui mempunyai alasan tersendiri terhadap kelakuan peliknya sejak akhir-akhir ini.

Menurut Iqram Dinzly, 36, dia terpaksa ‘menggadai diri’ dan sanggup berdepan kecaman ramai untuk memperkenalkan perniagaan yang baru diusahakannya di bawah jenama Bawaabata Merebucks.

“Lebih sedekad dalam industri hiburan, saya akur jika kita berbuat baik tiada siapa yang akan ambil peduli. Tetapi apabila sesekali berkelakuan aneh, mereka akan berterusan memperkatakannya hingga mencetuskan kontroversi.

“Mungkin ada yang melihat cara saya ini sebagai pemberontakan, tetapi saya ada sebab tersendiri mengapa berbuat demikian.

“Saya perlu melakukan anjakan dengan niat untuk memperkenalkan perniagaan merangkumi fesyen dan seni dengan lebih jauh.

“Cara netizen mengadili saya seolah-olah mereka terlalu suci dan sempurna. Alang-alang menyakitkan hati, lebih baik saya teruskan. Lagipun, apa yang saya buat ini hanya sementara nanti saya akan berhenti,”katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang membalas kecaman netizen dengan melemparkan kata kesat, Iqram berkata, tindakannya itu mencerminkan mentaliti masyarakat hari ini yang terbawa-bawa dengan media sosial.

“Jika mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan kesat, mengapa saya tidak boleh? Saya mahu sedarkan masyarakat perbuatan itu tidak elok. Jika mereka sakit hati dengan kata-kata yang dilemparkan, saya juga begitu,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian Online

Iqram Dinzly Sedia Bertemu Mufti Wilayah Persekutuan

Pelakon Iqram Dinzly mengakui bersedia bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk berbincang mengenai situasi yang dialaminya.

Menurut Iqram, dia mengucapkan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan, kerana prihatin dengan keadaan dirinya dan menggunakan media sosial dengan cara yang betul.

“Sebelum ini, saya kesal dengan sikap segelintir pihak yang hanya tahu mengkritik dan menghentam. Ada juga yang memberikan nasihat di laman sosial tetapi cara mereka tidak kena dan terlalu kasar.

“Saya menghormati tawaran beliau dan bersedia bertemu tetapi bukan dalam waktu terdekat kerana ibu saya masih dalam edah.

“Saya tidak boleh berjauhan dengan ibu buat masa ini,” katanya.

Iqram juga mengucapkan terima kasih kepada saudara mara dan rakan artis yang tidak menghakimi keadaannya sekarang.

Terdahulu, Iqram meluahkan rasa kesal apabila aplikasi Live Video di Instagram miliknya disekat.

“Saya yakin ada yang menyimpan hasad dengki dan melaporkan koleksi video Live saya sebelum ini sehingga disekat pihak Instagram.

“Namun, saya tidak menuduh sesiapa dan menganggap ini sebagai cabaran dalam hidup,” katanya.

Sumber: Harian Metro Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*